Page 20 - MJHP MALAYSIAN JOURNAL OF HEALTH PROMOTION Volume 2, 2020
P. 20
MALAYSIAN JOURNAL OF HEALTH PROMOTION Volume 2, 2020
ii. Lakukan Disinfeksi pada Permukaan yang Kerap Disentuh
Masyarakat negeri Pahang turut menyedari kepentingan disinfeksi
pada permukaan yang kerap disentuh. Hasil tinjauan ini menunjukkan
80.20% responden yang menyatakan demikian. Disinfeksi adalah
proses untuk membasmi kuman bagi mengelakkan jangkitan penyakit
(Centers for Disease Control and Prevention, 2016). Oleh itu,
permukaan persekitaran mesti dibersihkan dengan menggunakan air
dan disinfektan (Asgharzadeh et al., 2007). Disinfeksi penting untuk
mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 di rumah dan tempat
awam seperti pejabat, sekolah, gimnasium, pasar raya, bank, stesen
minyak, pengangkutan awam serta restoran. Permukaan yang kerap
disentuh seperti tombol pintu, pemegang tingkap, kaunter, pamtandas,
pemulas paip, lif, telefon pintar, papan kekunci komputer (World Health
Organization, 2020). Dapatan ini turut disokong oleh Kampf et al.
(2020) yang menyatakan bahawa disinfeksi dan pembersihan permukaan
yang kerap disentuh seperti pintu, tandas, meja, suis dan sinki mesti
dilakukan dengan pembasmi kuman. Kajian yang dijalankan oleh Cozad
dan Jones (2003) juga menunjukkan bahawa disinfeksi persekitaran
dapat memberi manfaat kepada kesihatan awam dengan mengurangkan
insiden jangkitan kuman.
iii. Patuhi Jarak Fizikal dan Elak 3S
Jarak fizikal bermaksud menjarakkan diri dari tempat orang awam
berkumpul, mengelakkan perhimpunan besar dan cuba untuk
menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu (1) meter antara satu sama
lain (World Health Organization, 2019). Individu yang bergejala perlu
tinggal di bilik berasingan dan tidak berkongsi peralatan makanan,
peralatan penjagaan diri serta bilik mandi (Centers for Disease Control
and Prevention, 2020). Budaya jarak fizikal yang disarankan adalah; (i)
letakkan tangan kanan di dada kiri sebagai ganti bersalam, (ii) jarakkan
diri sekurang-kurangnya satu (1) meter daripada orang lain, (iii) elakkan
keluar dari rumah jika tiada keperluan mendesak, dan (iv) elakkan
tempat tumpuan orang ramai (Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, 2020).
Majoriti masyarakat menyedari kepentingan penjarakan
fizikal dalam menangani penularan jangkitan COVID-19. Tinjauan
mendapati sebanyak 99.45% responden bersetuju untuk patuhi jarak
14