Page 19 - MJHP MALAYSIAN JOURNAL OF HEALTH PROMOTION Volume 2, 2020
P. 19

MALAYSIAN JOURNAL OF HEALTH PROMOTION Volume 2, 2020



            4.2  Penerimaan Masyarakat Untuk Amalkan 3W dan Elakkan 3S
                i.  Kerap  Basuh  Tangan Dengan  Air dan Sabun atau Guna  Hand
                   Sanitizer
                   Tinjauan norma baharu bagi aspek kebersihan diri menunjukkan majoriti
                   masyarakat negeri Pahang menunjukkan sokongan yang tinggi terhadap
                   kerap basuh tangan dengan air dan sabun (98.60%). Dapatan tinjauan ini
                   disokong oleh kajian sistematik yang dijalankan oleh Rabie dan Curtis
                   (2006)  yang  menyatakan  amalan  basuh  tangan  dapat  mengurangkan
                   risiko jangkitan pernafasan berdasarkan lapan kajian yang dilaporkan
                   turut menunjukkan basuh tangan dapat merendahkan risiko jangkitan
                   pernafasan dalam perkadaran antara 6% hingga 44%. Mencuci tangan
                   adalah elemen penting dalam penjagaan kebersihan yang betul. Mencuci
                   tangan merupakan langkah paling penting untuk mencegah penyebaran
                   sebarang penyakit. Tangan harus dibasuh dengan menggunakan air dan
                   sabun selama 30 saat serta selepas mencuci, individu tersebut perlu
                   mengelak daripada menyentuh permukaan yang tercemar dengan tangan
                   sendiri (Allegranzi et al., 2011). KKM menyarankan tujuh (7) langkah
                   mencuci tangan dengan betul kerana tangan yang bersih boleh mencegah
                   penyakit. Tujuh (7) langkah mencuci tangan yang disarankan adalah; (i)
                   basahkan tangan dan ratakan sabun dengan sempurna, (ii) gosok kedua-
                   dua tapak tangan, (iii) gosok setiap jari dan celah jari, (iv) gosok kuku
                   di tapak tangan, (v) gosok belakang tangan dan celah jari, (vi) basuh
                   tangan dengan air bersih secukupnya, dan (vii) keringkan tangan dengan
                   kain bersih atau tisu (Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, 2014).
                         Hasil tinjauan  ini juga mendapati  majoriti  masyarakat  negeri
                   Pahang turut menyatakan penerimaan yang positif terhadap penggunaan
                   hand sanitizer (92.63%). Centers for Disease Control and Prevention
                   (CDC) mengesyorkan  mencuci  tangan  dengan  menggunakan  air  dan
                   sabun. Namun sekiranya kemudahan tersebut tiada, penggunaan hand
                   sanitizer yang mempunyai sekurang-kurangnya 60% kandungan alkohol
                   dapat  mengelakkan penyebaran kuman kepada  orang lain  (Centers
                   for Disease  Control  and  Prevention,  2020). Kajian  oleh Azlan et  al.
                   (2020), menunjukkan 87.80% masyarakat Malaysia mengambil langkah
                   pencegahan COVID-19 dengan mengamalkan aspek kebersihan tangan
                   dengan betul. Alkohol berkesan dalam membunuh bakteria dan virus.
                   Kandungan alkohol sebanyak  60 - 95% adalah  paling  efektif untuk
                   membunuh bakteria dan virus. (Simone, 2005).


                                           13
   14   15   16   17   18   19   20   21   22   23   24