Page 18 - MJHP MALAYSIAN JOURNAL OF HEALTH PROMOTION Volume 2, 2020
P. 18
MALAYSIAN JOURNAL OF HEALTH PROMOTION Volume 2, 2020
4. PERBINCANGAN
4.1 Persepsi Masyarakat Terhadap Norma Baharu
Hasil tinjauan ini mendapati lebih daripada separuh masyarakat di negeri
Pahang (57.11%) berpendapat bahawa norma baharu mudah dilakukan.
Masyarakat bersetuju untuk menjalani norma baharu dalam kehidupan
seharian mereka (95.34%). Menurut Zafir Khan Mohamed Makhbul
(2020), “Setiap individu perlu meninggalkan normaliti biasa. Mereka perlu
tingkatkan kemampuan diri dalam menghadapi realiti yang akan datang
yang mungkin lebih mencabar. Norma baharu ini mungkin dirasakan janggal
dan sukar untuk diaplikasikan sekarang tetapi akan menjadi kebiasaan dan
individu haruslah menerimanya dengan hati dan pemikiran yang terbuka”.
Dapatan tinjauan turut menunjukkan sebanyak 99.63% masyarakat di negeri
Pahang juga bersetuju untuk mematuhi norma baharu. Peratusan dapatan
yang tinggi ini sejajar dengan kenyataan Ketua Polis Pahang YDH CP Dato’
Abd Jalil. Beliau menyatakan 90.00% hingga 95.00% masyarakat di negeri
Pahang mematuhi arahan PKP selepas lima hari dilaksanakan (Pahang
Media, 2020).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah
menasihati rakyat Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu
dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Beliau menekankan
kepentingan mematuhi SOP yang memberi penekanan kepada penjarakan
fizikal, menjaga keselamatan dan kebersihan diri. “Ini adalah tanggungjawab
sosial kita, dan kita memerlukan disiplin dan kepatuhan sosial untuk
melaksanakan dan mempraktikkan SOP. Tindakan setiap individu mempunyai
kesan rantaian terhadap bagaimana kita menguruskan COVID-19 dalam
komuniti kita. Kita harus mengadaptasi norma baharu dalam kehidupan
kita,” katanya (Diyana, 2020). Dapatan tinjauan ini membuktikan bahawa
masyarakat negeri Pahang akur kepada arahan yang dikeluarkan berkaitan
norma baharu. Mereka bersetuju untuk mematuhi norma baharu tersebut dan
merasakan bahawa bukanlah sukar untuk melaksanakannya dalam usaha
untuk memutuskan jaringan jangkitan COVID-19.
12