Page 10 - NIH Bulletin Vol. 24: July-Dec 2024
P. 10
Impak Ekonomi Saringan Kesihatan:
Menangani Beban Penyakit Tidak
Berjangkit (NCD) di Malaysia
Dr. Mohd Shaiful J
Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IHSR)
Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) adalah salah satu usaha yang hebat di bawah Agenda Nasional
Malaysia Sihat (ANMS), yang dirangka untuk membudayakan rakyat Malaysia mengambil kawalan penuh
terhadap kesihatan mereka sendiri. Menerusi teras ketiga ANMS, Kawalan Kesihatan Kendiri, inisiatif ini mengajak
orang ramai untuk lebih peka terhadap status kesihatan mereka dengan menjalani saringan kesihatan secara
berkala. Apa yang menarik, saringan ini mampu mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan
hipertensi pada peringkat awal, yang sering menjadi punca utama kematian pramatang di Malaysia.
Pengesanan awal melalui saringan mampu menghalang penyakit daripada menjadi lebih serius, sekaligus
mengurangkan risiko komplikasi yang teruk serta menurunkan kadar morbiditi dan kematian. Tambahan
pula, kos rawatan NCD pada peringkat lanjut jauh lebih tinggi berbanding jika ia dikesan dan diuruskan pada
peringkat awal. Oleh itu, pengesanan awal dapat meringankan beban kewangan individu dan juga sistem
kesihatan negara. Pelbagai program saringan kesihatan percuma telah ditawarkan oleh kerajaan seperti Skim
Penjagaan Kesihatan untuk Golongan B40 (PeKa B40), Program Saringan Kesihatan PERKESO, Inisiatif Komuniti
Sihat Pembina Negara (KOSPEN) termasuk saringan percuma di klinik kesihatan kerajaan.
Pusat Penyelidikan Ekonomi Kesihatan (CHeER) bersama Bahagian Kawalan Penyakit telah menjalankan
kajian mengenai impak ekonomi NHSI. Hasil kajian menunjukkan bahawa implementasi NHSI menyebabkan
peningkatan dalam perbelanjaan. Ini kerana kes yang dikesan awal memerlukan penjagaan kesihatan yang
lebih panjang. Namun begitu, NHSI masih berkesan dari segi kos kerana dapat mengurangkan morbiditi dan
mortaliti, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. Jika dilihat dari perspektif masyarakat dengan memasukkan
kos tidak langsung, inisiatif ini sebenarnya memberikan penjimatan kos jangka panjang. Analisis kos manfaat
(cost-benefit analysis) juga mendapati bahawa NHSI memberikan pulangan ekonomi yang positif.
10 JULY-DEC 2024