Page 42 - Q BULLETIN, Ministry of Health Malaysia, VOLUME 1, NO. 31 (SUPPLEMENT 1), JAN-DEC 2022
P. 42
Q Bulletin, Volume 1, No. 31 (Supplement 1), Jan - Dec 2022
th
11 National QA Convention, 4 – 6 October 2022
PP-04
Meningkatkan Peratusan Pemulihan Kes Positional Talipes di Hospital Tuanku Fauziah
Norizan AA, Ooi HK, Zaiton M, Suzanaini A, Nor Salmi AR, Nor Farhana AH
Unit Pemulihan Carakerja, Hospital Tuanku Fauziah, Perlis
PEMILIHAN PELUANG UNTUK PENAMBAHBAIKAN:
Pemantauan mendapati proses pemulihan kes positional talipes adalah perlahan di Hospital Tuanku Fauziah di
mana pesakit memerlukan tempoh rawatan melebihi tiga bulan di Unit Pemulihan Carakerja (UPCK) sebelum
discaj. Kajian verifikasi menunjukkan hanya 45.0% pesakit mencapai posisi normal dalam tempoh tiga bulan
rawatan.
PENGUKURAN UTAMA PENAMBAHBAIKAN:
Indikator utama ukuran penambahbaikan adalah peratusan pencapaian posisi normal kes positional talipes
dalam tempoh tiga bulan penerimaan rawatan di UPCK. Standard ditetapkan pada ≥80%.
PROSES PENGUMPULAN MAKLUMAT:
Kajian keratan lintang dijalankan dalam dua fasa dari 1 Jun 2018-30 November 2018 dan 1 Januari 2019-
30 Jun 2019. Penilaian kepatuhan rawatan di rumah dan kerjasama ibu bapa/penjaga ditentukan melalui
borang kaji selidik waris, penilaian tahap pengetahuan kakitangan dalam rawatan positional talipes ditentukan
melalui borang kaji selidik terapis, manakala penilaian kemahiran kakitangan dalam rawatan positional talipes
ditentukan melalui senarai semak seliaan. Penilaian diteruskan secara tahunan sehingga 2021 bagi menentukan
kelestarian projek.
ANALISIS DAN INTERPRETASI:
Dapatan kajian pra-intervensi (n=62) menunjukkan 55% pesakit tidak mencapai posisi normal dalam tempoh
tiga bulan menjalani rawatan. Antara faktor penyebab yang dikenalpasti adalah ketidakseragaman amalan
kerja di kalangan kakitangan (100%), kakitangan kurang kompeten (64%), kurang kepatuhan rawatan di rumah
(58%) dan kurangnya komitmen ibu bapa (33%).
STRATEGI PENAMBAHBAIKAN:
Penstrukturan semula sistem pengurusan rawatan dilaksanakan dengan mewujudkan garis panduan setempat,
seliaan terapis baru, latihan untuk terapis, mewujudkan risalah dan video untuk pendidikan penjaga, penjadualan
temujanji susulan yang sistematik, ‘personal coaching’ bagi penjaga kurang mahir dan bermasalah menghadiri
temujanji serta mewujudkan kumpulan sokongan keluarga.
KESAN PENAMBAHBAIKAN:
Penilaian semula (n=66) mendapati peratusan kes positional talipes mencapai posisi normal meningkat
daripada 45% kepada 88%. Faktor penyebab seperti ketidakseragaman amalan kerja di kalangan kakitangan
(20%), kakitangan kurang kompeten (20%), kurang kepatuhan rawatan di rumah (15%) juga menurun. Kajian
tahap kepuasan pelanggan menunjukkan peningkatan 20% selepas intervensi dilakukan.
LANGKAH SETERUSNYA:
Tatacara perawatan dan strategi penambahbaikan yang dijalankan wajar dilestarikan dan dikembangkan ke
peringkat nasional bagi memastikan pengurusan kes positional talipes yang berkesan di seluruh negara.
38